Sabah Negeri Merdeka & Bukan Milik Filipina

Shafie

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa Sabah bukan milik Filipina.

Beliau berkata, kenyataan ini juga telah dibangkitkan dan ditekankan kepada Duta Besar Filipina Charles Jose ketika dia mengunjungi Sabah tahun lalu.

Katanya kepada duta berkenaan untuk tidak bertanya mengenai hak undang-undang Sabah dan menerangkan bahawa menerusi nasihat yang diberi oleh Suruhanjaya Cobbold serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1960, Sabah dari segi undang-undang adalah bukan milik negara berkenaan.

Tegasnya, PBB telah pun memutuskan bahawa Sabah mempunyai kemerdekaan dan bukan sebahagian daripada Filipina.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman yang mendakwa Shafie senyap mengenai isu terbabit.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Sabahan yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini semalam.

Shafie mengulas lanjut bahawa beliau tidak berdiam diri dan memperjuangkan isu berkenaan menerusi undang-undang.

Turut terlibat dalam usaha berkenaan adalah bekas Peguam Negeri serta rakan sejawatnya yang telah pergi ke Sepanyol untuk kes berhubung isu terbabit.

“Oleh itu, jangan menuduh saya diam dan tidak melakukan apa-apa…kami akan mempertahankan pendirian bahawa Sabah bukan milik Filipina,” katanya.

Tambahnya, “Ini bukan keutamaan saya sekarang (kerana) saya menghadapi pilihan raya. Saya sedar bahawa ini adalah agenda politik mereka tetapi saya yakin bahawa orang Sabah tidak akan terpedaya dengannya.”

Shafie turut melontarkan pertanyaan yang sama kepada Anifah, yang juga bekas Menteri Luar Negeri, apa yang telah dia lakukan mengenai tuntutan itu semasa dia memegang jawatan terbabit.

Beliau berkata, Anifah sebagai Menteri Luar Negeri ketika itu seharusnya membangkitkan masalah itu dengan rakan sejawatnya dari Filipina, tetapi perkara itu tidak berlaku.

Shafie berkata, Anifah telah berdiam diri serta tidak melakukan apa-apa dan sekarang ini menyalahkan beliau pula.

Anifah baru-baru ini mengatakan bahawa dia kecewa dengan Shafie yang berdiam diri mengenai perkara yang muncul kembali baru-baru ini apabila Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsi Jr dalam ciapan Twitternya menyatakan “Sabah is not in Malaysia (Sabah bukan dalam Malaysia)” sebagai balasan kepada ‘tweet’ Kedutaan Amerika Syarikat di Manila mengenai bantuan pemulangan rakyat Filipina dari Sabah.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *