Belum Putus Parti Sekutu Guna Logo WARISAN Hadapi PRN – Mohd Shafie

PUTATAN: Parti Warisan Sabah (WARISAN) belum mencapai kata putus mengenai cadangan parti sekutu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menggunakan lambang WARISAN.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia berikutan ada beberapa parti sekutu masih belum memutuskan penggunaan lambang WARISAN.

“Kita masih belum dapat memberi kata putus lagi. Ada parti yang setuju dan ada parti yang masih sedang membuat pertimbangan.

“Bagaimanapun, kali terakhir kita berdepan mereka (parti lawan) juga menerusi pendekatan dengan menggunakan logo parti masing-masing,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya WARISAN Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong; Setiausaha Agung, Loretto Padua; Bendahari Agung, Terrence Siambun; Ketua bahagian WARISAN Putatan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari dan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai.

Mohd Shafie mengulas cadangan Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Khairuddin Daud supaya Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo WARISAN sebagai tanda kesatuan semua parti bagi berdepan PRN Sabah.

Beliau berkata, penggunaan lambang parti lain ketika pilihan raya bukan sesuatu yang pelik kerana pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14), PH di Semenanjung menggunakan lambang PKR untuk bertanding.

“Kita dulu pun gunakan logo PKR di Semenanjung. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guang Eng juga bertanding dengan menggunakan logo PKR.

“Kalau di Semenanjung boleh buat, kenapa tidak di Sabah? Apa pun ini hanya cadangan kalau parti lain boleh terima kecuali UPKO kerana mereka adalah parti tempatan.

“Apa pun, pihak kita akan memberi kata putus mengenainya secepat yang mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, mewujudkan pusat pengundian terpencil pada PRN kali ini tidak semudah seperti disangka kerana memerlukan persediaan rapi.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1043