Jalur Gemilang Dipasang Terbalik Di Tawau Undang Rasa Kurang Senang

Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah restoran di Jalan Chong Thien Vun, dekat Tawau, tular di media sosial.

TAWAU: Tindakan sebuah restoran di Jalan Chong Thien Vun, dekat Tawau, memasang Jalur Gemilang secara terbalik mengundang rasa kurang senang orang ramai sebelum tular di media sosial hari ini.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum disebarkan di laman Facebook dan kumpulan aplikasi Whatsapp.

Berdasarkan gambar dikongsikan itu, bendera negeri Sabah dipasang dengan betul manakala Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.

Penduduk, Roslan Jumadi, 32, yang kesal dan terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak prihatin sehingga jalur gemilang dipasang atau digantung secara terbalik.

Menurutnya, setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan isu pemasangan bendera secara salah kerap berulang seolah-olah ia hanya perkara remeh.

“Perbuatan begini walaupun nampak kecil tapi ia menggambarkan sikap sebenar individu yang tiada semangat patriotisme dan cintakan bendera yang menjadi lambang kedaulatan negara,” katanya kepada Harian Metro di Tawau.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tawau ketika dihubungi berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati pemasangan jalur gemilang secara terbalik itu tidak disengajakan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja restoran terbabit yang secara tidak sengaja terbalik.

“Bagaimanapun, pihak restoran sudah mengambil tindakan serta merta dengan membetulkan semula bendera pada kedudukan sebenar,” katanya sambil menasihat orang ramai menghentikan menyebarkan gambar itu yang boleh menggugat ketenteraman awam.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6014