Lajim Antara Tiga Pemimpin Tanding MPT BERSATU

Haji Lajim Haji Ukin

KOTA KINABALU: Tiga tokoh pemimpin dari Sabah menawarkan diri untuk dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mengadakan pemilihan secara serentak di seluruh negara pada 23 Ogos ini.

Mereka ialah Pengarah Strategi dan Pilihanraya Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Beaufort, Ketua BERSATU Bahagian Silam merangkap Pengerusi Biro Agama BERSATU Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan dan  Adzmi KK Jawatan @ KK Juatan.

Ketika ditemui wartawan di ibu negeri, Lajim berkata beliau akan mengadakan jerayawara di semua negeri untuk menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU 2019-2022.

Katanya, BERSATU di Sabah adalah yang termuda dan penyertaan kita dalam pemilihan kali ini adalah pengiktirafan kepada keberadaan kita di Sabah bahawa BERSATU bukan saja untuk orang Melayu di Semenanjung tetapi juga untuk orang asal di Sabah.

“Kita mempunyai 31 suku kaum orang asal di Sabah. Dengan itu, jika kita terpilh, kita boleh bawa visi dan misi perjuangan BERSATU dibawah pimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diterima oleh rakyat Sabah.

“Kami  harap sokongan dari semua perwakilan, bukan saja dari Sabah tetapi dari seluruh negara agar memberi kepercayaan kepada kami untuk dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan pimpinan negeri akan terus berusaha untuk memastikan BERSATU terus relevan di Sabah dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden dan Perdana Menteri Malaysia.

Selain Lajim, antara pemimpin yang bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ialah Ketua BERSATU Bahagian Silam merangkap Pengerusi Biro Agama BERSATU Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan.

Seorang lagi yang bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ialah Adzmi KK Jawatan @ KK Juatan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah merangkap Ketua BERSATU Bahagian Beluran bertanding untuk calon Naib Presiden.

Bagi calon Exco Srikandi, turut bertanding ialah Ketua Srikandi Bahagian Kota Marudu Dato Redonah Bahanda, Ketua Srikandi Bahagian Lahad Datu Mizma Appehdullah dan Ketua Srikandi Bahagian Kinabatangan Dayang Norhayati Titing @ Amoi Titing.

Calon Exco Armada PBPM ialah Ketua Armada Ranau Rosdi Abd Ghani, Ketua Armada Kinabatangan Johainizamshah Johari dan Ketua Armada Sepanggar Abqaree Fawwaz Abekan yang juga Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS).

Ketua Armada Penampang Caesar Mandela Malakun, yang juga Timbalan Ketua Armada Sabah bertanding untuk jawatan Naib Ketua Armada Malaysia.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3183