BERSATU Mahu Satu Lawan Satu Untuk Menang PRN Sabah

Hamzah mengumumkan jumlah keseluruhan ahli berdaftar BERSATU di seluruh Sabah kini mencapai angka 105, 385 orang berikutan pertambahan 20, 080 ahli baharu.

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lebih cenderung perlawanan satu lawan satu untuk memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.


Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainudin percaya satu lawan satu sentiasa menjadi pilihan dalam pilihan raya termasuk PRN Sabah justeru perbincangan masih diteruskan bersama komponen parti dan sekutu PN.


“Kita akan mengadakan perbincangan (bentuk kerjasama) dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan semua parti lain termasuk sekutu PN,” katanya.


Hamzah berkata demikian semasa ditemui pada sidang media sempena Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Sabah di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengerusi BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


Mengulas lanjut, beliau berkata perbincangan bersama parti-parti terbabit akan menyentuh perkara berkaitan pengagihan kerusi dan pemilihan calon, termasuk penentuan logo parti yang hendak digunakan pada PRN Sabah.

“Ramai rakan kita (dalam BERSATU Sabah) menyuarakan bahawa untuk kepentingan rakyat di negeri ini, calon-calon dipilih bukan hanya boleh menang tetapi juga mampu menjadi Wakil Rakyat berkaliber dan berintegriti tinggi,” katanya.


Pada masa sama, pemilihan calon bertanding masih dalam perbincangan namun beliau membayangkan kemungkinan calon PN kali ini gabungan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ada juga orang baharu.


Ditanya berhubung identiti pemimpin yang bakal memimpin PN menghadapi PRN Sabah pula, beliau berkata perkara itu belum dimuktamadkan kerana setiap parti ada pemimpin mereka namun BERSATU Sabah mencadangkan Hajiji.


Menyentuh kerusi-kerusi DUN yang BERSATU inginkan pula, Hamzah berkata mereka melihat kawasan yang boleh dimenangi bersama gabungan PN dan pada masa sama percaya gabungan parti itu akan menang besar pada PRN. – Utusan Borneo

2299