PRN Sabah: PPBM Sedia Terima Kerusi Lebih Rendah

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin bersama pemimpin PPBM Sabah di Kota Kinabalu hari ini

KOTA KINABALU: PPBM bersedia menerima jumlah kerusi lebih rendah selepas mengumumkan hasratnya bertanding di 45 kawasan pilihan raya di Sabah, kata setiausaha agungnya Hamzah Zainudin.

“Empat puluh lima kerusi adalah hasrat kita, tetapi selepas mencapai persetujuan jumlah itu akan dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin PPBM Sabah hari ini.

Ketua Penyelaras PPBM Sabah Hajiji Noor berkata minggu lalu parti itu sudah mengenal pasti 45 kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sebagai tindak balas, Umno Sabah memberikan amaran kepada parti itu, dengan mengatakan yang mereka mungkin mahu bertanding lebih daripada 38 kerusi.

Pengarah komunikasi Umno Sabah Ghazalie Ansing berkata, partinya tetap komited mempertahankan semua kerusi dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Hamzah berkata, dapat difahami yang setiap parti menginginkan semula kerusi mereka tetapi ia belum diselesaikan lagi.

“Keutamaannya adalah memenangi semula kerajaan negeri di bawah gabungan ini (Perikatan Nasional),” katanya.

Beliau juga berkata, PN sedang berbincang dengan sekutunya mengenai sama ada menggunakan logo gabungan atau simbol parti masing-masing.

Mengenai pemilihan ketua menteri jika PN berjaya memenangi pilihan raya, Hamzah berkata pilihan awal PPBM adalah Hajiji, walaupun perkara itu masih belum dibincangkan.

“Sudah tentu, Umno akan mempunyai calonnya sendiri serta PBS dan STAR. Kami akan membincangkan siapa yang akan menjadi pilihan tepat untuk menerajui kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu Hamzah berkata, senarai calon PPBM Sabah belum dimuktamadkan namun ia akan membabitkan muka baru dan lama.

Terdahulu, beliau menerima 20,080 permohonan keahlian daripada beberapa pemimpin bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan 105,385.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2164