WARISAN Tutup Pintu Kepada Bekas Wakil Rakyat Yang Berpaling Tadah

Dr. Yusof Yacob

LABUAN: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menutup rapat pintu kepada bekas wakil rakyatnya yang telah berpaling tadah, untuk bertanding semula dalam Pilihanraya Umum Negeri (PRN) ke-15.

Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Dr. Yusof Yacob, berkata pucuk pimpinan parti tidak berkompromi dengan pemimpin yang tiada pendirian, sebaliknya akan menampilkan muka baharu untuk bertanding mempertahankan kerusi yang dikuasai sebelum ini.

“Pemimpin yang lebih mementingkan habuan wang ringgit serta mudah dijual beli tidak akan ada tempat dalam WARISAN,” katanya ketika menyampaikan ceramah politik sempena Program Jelajah parti itu di sini kelmarin.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, turut hadir pada mjlis bersama ahli-ahli jawatankuasa bahagian sayap Wira, Wanita dan Wirawati serta ketua-ketua cawangan Warisan Labuan.

Apa yang berlaku minggu lalu, katanya, di mana ramai wakil-wakil rakyat melompat meninggalkan parti kerajaan setelah `dibeli’ dan dijanjikan pelbagai jawatan menarik, jelas telah membelakangkan kehendak rakyat.

“Mereka meraih habuan lumayan setelah menjual diri, tapi rakyat yang mereka wakili dapat apa?” tanyanya, sambil mendapat tepukan gemuruh dari ahli-ahli parti yang hadir.

Beliau mendakwa percubaan menggulingkan kerajaan yang diketuai bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman minggu lalu merupakan agenda dirancang rapi Kerajaan Pusat.

Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin dan Setiusaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Nardim merupakan perancang utama dalam konspirasi politik hingga berlakunya wakil rakyat kerajaan melompat menyokong Musa yang kemudiannya mendorong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri
Panglima Shafie bin Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 29 Julai lalu.

Mengenai pemilihan bakal calon WARISAN pada PRN ke-15 kali ini, Dr. Yusof berkata ianya akan diperhalusi sebaik mungkin bagi memastikan bakal calon baharu mempunyai integriti yang tinggi serta memiliki taat serta kepada parti.

Wakil-wakil rakyat yang tamak untuk dapat habuan wang ringgit demi kelangsungan poket sendiri tidak akan mendapat kepercayaan daripada mana-mana parti politik, malah tindakan jijik mereka akan sentiasa terpahat di hati rakyat Sabah.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3766