(VIDEO) 73 Maut Dalam Letupan Di Pelabuhan Lubnan

Beirut: Dua letupan kuat menggegarkan Beirut pada Selasa sehingga mengakibatkan kira-kira 73 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 2,000 cedera.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang (waktu tempatan), letupan dipercayai berlaku di pelabuhan bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu.

Impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu.

Beberapa bangunan di sekitarnya termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri turut musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Letupan kedua menyebabkan bola api ke udara yang turut menggegarkan bandar, menyebabkan pecahan tingkap tersebar ke beberapa kilometer.

Malah, letupan berkenaan boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian.

Terdapat rakaman video yang menunjukkan letupan awal dengan mengakibatkan kepulan asap tebal, api marak dan menggegarkan bangunan di ibu kota.

Pada masa sama, kedengaran jeritan penduduk yang bergegas menyelamatkan diri di dalam restoran dan dari balkoni kediaman masing-masing.

Kebanyakan daripada mereka menyangkakan insiden itu adalah gempa bumi.- Agensi

1345