‘Segera Tinggalkan Sabah Jika Tiada Dokumen Sah’

Antara yang dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk dokumentasi. Seramai 16 orang ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan terlibat dalam jenayah. Gambar Ehsan IPD Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu tanpa sebarang dokumen di Sabah diberi peringatan supaya pulang ke negara asal secepat mungkin.

Pendatang tanpa izin (PATI) yang gagal berbuat demikian dan berhasrat terus menetap di Negeri Di Bawah Bayu itu bakal ditangkap menerusi operasi besar-besaran dalam tempoh terdekat.

Memberi peringatan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kerajaan komited untuk merungkai masalah lambakan warga asing tanpa dokumen sah di Sabah.

Hasil penelitian lanjut, katanya, isu lambakan warga asing di negeri terbabit semakin meruncing kerana masih wujud pengeluaran kad yang tiada perakuan oleh mana-mana agensi rasmi.

“Saya ingin tegaskan, kerajaan tidak akan keluarkan lagi kad IMM13 tetapi yang jadi masalah sekarang sehingga berderet nak daftar bukan IMM13.

“Sebaliknya dokumen lain yang kita sendiri tidak tahu siapa ingin keluarkan dalam zaman kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Oleh itu, saya ambil tindakan untuk memastikan tiada lagi pengeluaran dokumen selain yang sedia ada buat masa ini.

“Kita nak selesaikan isu warga asing di Sabah, justeru sesiapa yang tidak mempunyai dokumen dan tinggal di Sabah, cepat pulang ke negara asal kerana kita akan buat operasi besar-besaran,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

16006