WARISAN Yakin Mampu Menang Banyak Kerusi – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin akan menang lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun begitu, Warisan tidak boleh terlalu sombong kerana pilihan terletak ditangan rakyat.

“Apa yang penting kita bentuk kerajaan dan tidak boleh terlalu sombong.

“Terserah kepada rakyat Sabah untuk menentukannya sebab kita yakin sebagai parti tempatan (boleh menang).

“Jadi, kita minta kerjasama semua orang Sabah undilah Warisan. Itu yang kita mahukan… kita mahu pastikan kita boleh menang pilihan raya kali ini dan kita berdoa kepada tuhan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian Warisan, di sini hari ini.

Menurutnya, sebenarnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Warisan menang, namun disebabkan ada kotak-kotak undi (tambahan) yang dibawa masuk, mereka kalah apabila pengiraan undi dilakukan banyak kali.

“Bayangkan kira undi sampai 4 pagi tapi Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditutup pada 5.30 petang. Tidakkan kira undi yang hanya sekitar 30,000 tapi pengiraan undi sampai 3 pagi.

“Kita tahu berapa jumlah kita boleh menang kerana ada setengah kawasan sampai kira tiga hingga empat kali. Mula-mula kita menang tapi bila kira kali ketiga kita kalah,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3050