TAWAU: Penduduk perkampungan atas air gempar selepas terdengar beberapa das tembakan dipercayai berkaitan kes jenayah, di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, petang, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang itu, membabitkan seorang suspek lelaki, 20-an, yang ditembak pihak lain dipercayai anggota polis.
Berdasarkan video langsung (live) Facebook berdurasi 8 minit 52 saat itu, menyaksikan lapan das tembakan dilepas ke arah seorang lelaki yang berada di bawah sebuah rumah di perkampungan atas air berkenaan.
Menurut rakaman video tersebut, saksi mendakwa terdengar satu das tembakan sebelum bertindak keluar dari rumah untuk melihat sendiri kejadian berkenaan.
Turut terdengar jeritan seorang lelaki dipercayai anggota polis yang mengarahkan suspek segera naik ke atas jika enggan ditembak.
Selang beberapa minit kemudian, empat das tembakan dilepaskan, sebelum suspek yang memakai baju T berwarna gelap dan berseluar pendek itu bertindak melarikan diri.
Melihat keadaan itu, empat das lagi tembakan dilepaskan ke arah suspek.
Lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri termasuk bergerak dalam keadaan bertiarap sebelum menghilangkan diri.
Berdasarkan rakaman percakapan dalam video tersebut, ada saksi mendakwa suspek cedera mungkin disebabkan terkena tembakan selepas ternampak kesan kecederaan pada bahagian belakang badannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Berdasarkan laporan yang diterima, suspek dipercayai bergiat aktif dengan aktiviti pengedaran dadah di situ.
“Ketika kejadian, serbuan dilakukan di lokasi, namun, suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke lumpur sebelum bersembunyi ke bawah rumah penduduk,” katanya.
Polis dikatakan melepaskan tembakan amaran ke arah suspek, namun, lelaki itu berdegil dan nekad melarikan diri.
“Sehingga kini, kami masih melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut,” katanya. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost