WARISAN, Parti Sekutu Muktamad Calon Minggu Depan

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew pada sidang media selepas mesyuarat hari ini – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya dijangka memuktamadkan senarai penuh calon dan pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada minggu hadapan.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya bersama parti sekutu telah membincangkan beberapa perkara termasuk pembahagian kerusi dan senarai penuh calon sebagai persediaan menghadapi PRN, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan calon, beliau berkata pihaknya meletakkan kesetiaan sebagai kriteria utama selain aspek lain seperti latar belakang pendidikan dan kebolehan.

“Kita bukan hanya melihat kriteria utama seperti muka baharu, berkelulusan tetapi yang paling penting tidak ‘melompat’.

“Kalau kriteria hanya berlandaskan pendidikan, kita boleh letak calon lulusan ijazah, doktor atau pakar tetapi jika esoknya melompat, tidak ada gunanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat bersama pimpinan tertinggi parti sekutu, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat WARISAN, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon; Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.

Shafie juga berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk meletakkan Ahli Parlimen menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menghadapi PRN kelak.

“Kita lihat keadaan kalau sekiranya kita perlu letak Ahli Parlimen menjadi ADUN asalkan yang penting kita menang. Kalau dengan cara itu dapat menumbangkan UMNO-BN, kenapa tidak?

“Bagaimanapun, kita akan memuktamadkan senarai penuh calon pada minggu hadapan,” katanya.

Shafie berkata PH dan UPKO mempunyai kekuatan tersendiri dan sudah lama bertapak di negeri ini tetapi AMANAH berperanan untuk memberi sokongan serta kerjasama sewaktu PRN.

“Keutamaan diberikan kepada parti tempatan kerana kita mendengar sebahagian besar permintaan pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan demikian,” katanya.

Sementara itu, Shafie juga berkata beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tekanan daripada Kerajaan Persekutuan dan juga kemelut politik yang dilihat menyekat pentadbiran kerajaan negeri serta peluang pelaburan.

Beliau menjelaskan pembubaran DUN telah melalui proses lengkap di samping menjelaskan kedudukannya sebagai Ketua Menteri berhak untuk menasihatkan Yang di-Pertua Negeri mengenai perkara itu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

819