
KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin mempengerusikan mesyuarat khas parti itu yang sedang berlangsung di ibu pejabat Umno Sabah di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipercayai bagi membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanpun, bekas ketua menteri yang juga Adun Sungai Sibuga, Musa Aman tidak menghadiri mesyuarat khas itu.
Musa yang masih merupakan ahli Umno, tetapi tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti, ialah satu-satunya Adun parti itu di Sabah.
Semalam, Bung menafikan laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa Musa tiada dalam senarai calon Umno bagi PRN Sabah.
Beliau mengakui ada memberi kenyataan kepada portal berita itu, tetapi langsung tidak menyentuh isu senarai calon atau Musa.
Katanya, berita palsu itu sengaja dicipta untuk melaga-lagakan beliau dan Musa serta merosakkan Umno.
Laporan portal itu mendakwa Bung berkata: “Satu-satunya jalan penyelesaian kemelut politik dalam Umno adalah menyingkirkan Musa Aman daripada senarai calon Umno pada PRN Sabah.” – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost