Teruskan Agenda MA63: Shafie

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari Sabah meminta kerajaan meneruskan pelaksanaan 21 perkara yang dikemukakan kerajaan Sarawak dan Sabah pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63).

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang menyatakan bahawa ketika ini 17 daripada 21 perkara telah mendapat persetujuan bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berkenaan.

“Kerajaan PH sudah luluskan 17 daripada 21 perkara. Yang tertinggal isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan hak negeri ke atas pelantar benua.

“Saya harap perkara ini dapat dijayakan. Kerajaan hari ini dapat teruskan kerana kita mahu membina negara. Jangan berbalah pasal agama dan kaum kerana tidak membawa faedah,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.  

Antara 17 perkara yang telah dilaksanakan ialah tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di Sabah, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di Sarawak dan Sabah, isu pertanian dan perhutanan, semakan semula pemberian khas, penurunan kuasa kepada Mahkamah Sabah dan Sarawak serta pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman.

Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata MA63 merupakan suatu perjanjian yang dimartabatkan pemimpin terdahulu sebelum negara mencapai kemerdekaan merangkumi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Ini merupakan suatu perkara penting bukan untuk rakyat Semenanjung atau rakyat di Sabah dan Sarawak, kerana itu merupakan intipati yang membolehkan kita membentuk Malaysia bukan untuk kepentingan Sabah dan Sarawak sahaja,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *