Rakyat Menangis Mahu Bantuan, Kamu Sibuk Beli Wakil Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menempelak pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang kononnya mempertahankan Titah Diraja untuk tidak lagi mengheret rakyat ke dalam kemelut politik, namun realiti yang berlaku adalah sangat bercanggah.

Ketua Menteri berkata, ketika rakyat memohon agar kerajaan membantu mereka, sebaliknya sebahagian pemimpin kerajaan lebih berminat untuk membeli wakil rakyat Sabah dan cuba menggugat kestabilan politik yang ada.

Beliau berkata, tindakan kerajaan terdahulu menggunakan instrumen kerajaan untuk memberi tekanan politik kepada pemimpin tertentu seolah-olah telah bermula kembali.

“Kebimbangan saya instrumen dalam pilihan raya yang telah lalu contohnya institusi kehakiman, kepolisan, SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ini menjadi satu instrumen politik bukan untuk mentadbir negara kita, bayangkan pada hari ini ramai di antara YB saya dihantar dengan kenyataan SPRM, dahulu tiada tetapi sekarang ada.

“Yang paling banyak surat-surat ini di negeri Sabah, tidak banyak sangat di Johor, Perlis, Kelantan, ini membimbangkan kita keadaan kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Shafie yang menyifatkan perkara itu sebagai ‘Covid Politik’ berkata, sehingga ke hari ini masih banyak berlaku cubaan untuk mengganggu-gugat politik Sabah.

“Usaha yang pertama perlu dilakukan ialah penyatuan umat untuk melihat apa kepentingan dia, apa keutamaan yang perlu dalam mentadbir negara bukan nak kita lihat berapa jumlah kerusi yang kita dapat, sehingga sekarang pun berlaku di peringkat negeri Sabah Covid Politik.

“Nak jumlah itu, nak jumlah ini sekejap saja lagi nak angkat sumpah sekejap lagi perlu dua sekejap lagi, ini sudah bermula sejak hari raya puasa,” tegasnya.

Tambah Mohd. Shafie, hakikatnya, ketika ini rakyat amat memerlukan bantuan dan merayu dibantu daripada segi macam mana kerajaan boleh menyelamatkan mereka daripada belenggu ekonomi yang berlaku.

Tegasnya, rakyat mahu melihat apa yang mereka boleh dapat daripada rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8641