COVID-19: Sarawak Laksanakan Kawalan Pergerakan Antara Daerah

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan melaksanakan kawalan pergerakan antara daerah bagi mengekang penularan COVID-19 yang meningkat semula, terutama di bandar raya ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata jumlah penerbangan masuk dan keluar dari Sarawak serta tempoh operasi perniagaan juga akan dikurangkan.

Beliau berkata, JPBN negeri akan mengumumkan strategi berkenaan dengan lebih terperinci selepas ia diperhalusi, dalam masa terdekat.

“Mesyuarat khas JPBN yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini, mengambil maklum perkembangan terkini jumlah kes positif COVID-19 di Kuching dan Samarahan.

“Justeru, beberapa tindakan segera harus diambil sebagai langkah mengawal penularan COVID-19 di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Uggah berkata, JPBN Sarawak juga memutuskan bahawa semua warga Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel.

“Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan ujian PCR COVID-19 adalah negatif, mereka dibenarkan balik. Arahan ini berkuat kuasa 1 hingga 14 Ogos ini.

“Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, arahan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, iaitu wajib menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, dalam usaha mengekang penularan COVID-19 terutama di kawasan panas Kota Sentosa, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pelaksanaan penjejakan kontak atau pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan sempadan daerah Kuching dan Samarahan itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Sarawak mencatatkan satu lagi kes kematian akibat COVID-19, hari ini.

“Kes kematian yang ke-19 itu membabitkan kes ke-589 dilaporkan di Sarawak dan adalah kes kematian ke-124 di Malaysia.

“Mangsa adalah seorang wanita warga tempatan berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, satu lagi kes positif COVID-19 dilaporkan di Kuching, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhannya kini mencecah 650 di Sarawak.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1268