SD Bermakna Shafie Tidak Percaya ADUN Sendiri, Kata Presiden SAPP

Presiden SAPP Yong Teck Lee mendakwa Warisan merupakan ‘lubuk’ lompat parti dengan pembelot daripada Barisan Nasional menyertai parti itu.

KOTA KINABALU: Presiden SAPP Yong Teck Lee hari ini mendakwa Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hilang langkah dengan “meminta ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) beliau sendiri menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokongnya.”

Yong berkata, pendedahan yang dibuat oleh beberapa Adun Warisan dan Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka menandatangani SD menyokong Shafie sebagai ketua menteri menunjukkan beliau tidak lagi mempercayai Adunnya sendiri.

“Adalah luar biasa bahawa ketua menteri yang mendakwa mendapat sokongan 2/3 majoiti di Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu meminta Adunnya sendiri menandatangani SD bagi menyokong beliau sebagai ketua menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Satu-satunya sebab bagi keadaan itu ialah Shafie percaya bahawa beliau telah hilang sokongan Adunnya sendiri.

“Justeru kewujudan SD Adun penyokong kerajaan ini mendedahkan hakikat adanya masalah besar dalam gabungan yang diketuai oleh Warisan.”

Semalam Adun Inanam Kenny Chua menafikan beliau beralih sokongan daripada gabungan kerajaan Warisan-Upko-DAP-PKR kepada pembangkang dengan menandatangani SD.

Chua berkata, beliau menandatangani SD bagi menyokong Shafie dan kerajaan pimpinan Warisan, bukannya orang lain.

Yong hari ini mendakwa, “ketidakstabilan” gabungan kerajaan yang diketuai Warisan diperhebatkan lagi oleh perebutan berhubung calon perdana menteri.

Beliau berkata, di peringkat pusat, DAP dan PKR menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri PH.

“Tetapi di Sabah, parti yang sama menyokong presiden Warisan Shafie Apdal.

“Lambat laun ketegangan dalam PH dan Warisan akan meletup sekali gus menyebabkan pecahnya gabungan politik pimpinan Warisan di Sabah.”

Dalam pada itu Yong berkata, Warisan tidak lagi perlu merungut tentang kemungkinan Adunnya meningalkan parti.

Ini kerana katanya, Warisan adalah “lubuk” pembelotan. Beliau berkata, pembelot daripada BN telah menyertai Warisan.

“Malah kerajaan negeri pimpinan Warisan terbentuk hanya melalui pembelotan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Oleh sebab Warisan gagal memerintah dengan baik dan presiden partinya obses untuk menjadi perdana menteri, maka tidaklah memeranjatkan ramai Adunnya mahu mengkaji semula pendirian politik sendiri berikutan tumbangnya kerajaan pusat pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Yong menggesa Shafie supaya menafikan bahawa beliau sendiri cuba memujuk ahli Parlimen Sarawak dan parti lain supaya “memberontak” terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Adakah beliau akan menafikan bahawa selepas pilihan raya umum lepas, yang menyaksikan Warisan memenangi 21 daripada 60 kerusi, parti itu dan wakilnya menawarkan jawatan kepada Adun BN dan STAR supaya beralih kepada Warisan?

“Bahawa Adun yang melompat juga diberikan jawatan menteri (dalam Kabinet negeri)?” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3296