PGA Tahan Dua Lelaki Disyaki Penyeludup Petrol & Produk Kosmetik

Anggota PGA bersama juragan yang ditahan selepas disyaki penyeludup petrol di perairan Semporna hari ini. Foto Ihsan PGA

SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga asing selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan petrol bersubsidi melalui perairan Pulau Bohayan, Semporna pada awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 5.10 pagi itu, kedua-dua suspek yang masing-masing menggunakan bot laju dikesan sepasukan anggota PGA menerusi Op Benteng Covid-19 dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

Anggota PGA bersama juragan yang ditahan selepas disyaki penyeludup petrol di perairan Semporna hari ini. Foto Ihsan PGA

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, kedua-dua juragan bot terbabit cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran bot pasukan PGA.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas anggota berjaya memintas bot dikendalikan suspek sebelum mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot pertama mendapati seorang juragan berusia 19 tahun bersama 32 tong kosong dipercayai digunakan untuk mengisi petrol.

“Bot kedua pula dikendalikan seorang juragan berusia 41 tahun membawa 32 tong minyak kosong selain 95 kotak mengandungi barang kosmetik pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yacob berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup petrol dipercayai diperoleh dari tanah besar di pekan Semporna.

Katanya, berdasarkan penemuan sejumlah tong kosong milik suspek, pihaknya percaya modus operandi mereka ialah memperoleh bekalan bahan bakar itu sedikit demi sedikit daripada sindiket penyeludupan sebelum dikumpulkan untuk dibawa dan dijual di Filipina.

“Kami turut menemukan beberapa keping duit kertas mata wang Filipina milik kedua-dua suspek.

“Tangkapan dan barang rampasan termasuk kosmetik, dua bot laju bersama enjin sangkut dianggarkan bernilai RM39,230.

“Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

913