29 Penduduk Dari Daerah Papar Dipindahkan Ke PPS

KOTA KINABALU: Seramai 29 penduduk daripada 13 keluarga dalam daerah Papar dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Papar selepas kampung mereka dinaiki air, semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan memaklumkan PPS dibuka pada 8 malam selepas hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan paras air sungai Papar meningkat secara mendadak dan melimpah ke kawasan kampung berkenaan.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Tanaki, Kawang, Gusi, Sri Menanti, Pekan Kinarut, Anak Kinarut, Taman Gloxinia, Taman Rose Garden, Kelanahan, Kopimpinan, Beringis, Somboi dan perumahan flat kereta api Kinarut.

Menurut kenyataan itu, tiga laluan terputus iaitu Jalan Sabindo-Kinarut, Jalan Kampung Anak Kinarut dan Jalan Pekan Kinarut.

Dua sekolah turut terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan Pekan Kinarut dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kin Kiau.

Beberapa agensi turut terlibat dalam proses pemindahan mangsa ke PPS antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

856