Bayar RM150 Sehari Di Pusat Kuarantin IPG Tawau

TAWAU: Semua individu yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau perlu menanggung kos kuarantin sebanyak RM150 sehari.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata, ia berkuat kuasa kepada individu yang dikuarantin bermula, semalam.

“Dalam masa sama, mereka juga perlu menanggung sendiri kos ujian saringan Covid-19.

“Kos itu berbeza mengikut jenis ujian pengesanan seperti polymerase chain reaction (PCR), antigen dan antibodi bernilai antara RM30 hingga RM250, bergantung kepada status warganegara seseorang,” katanya kepada media, baru-baru ini.

Sementara itu, sehingga hari ini, seramai 117 individu masih dikuarantin di IPG Kampus Tawau termasuk membabitkan kumpulan pendatang tanpa izin (Pati) yang diberkas penduduk di Kampung Batu Payung, di sini, baru-baru ini.

Penyelia Pusat Kuarantin IPG Tawau Kapten (APM) Hussien Mohd Nor berkata, jumlah itu turut membabitkan individu yang tiba dari Nunukan, Indonesia.

“Jumlah itu membabitkan 51 lelaki, 52 wanita, manakala selebihnya kanak-kanak.

“Selain itu, seramai 49 individu pula masih menjalani tempoh kuarantin di rumah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7186