ADUN Sindumin Dakwa Ditawar RM50 Juta Untuk Lompat Parti

KOTA KINABALU: Wang tunai RM50 juta dan jawatan menteri penuh adalah antaratawaran yang didakwa dikemukakan individu yang dipercayai ejen keluar parti kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob.

Yusof berkata, beliau telah dihubungi beberapa kali sejak awal bulan ini oleh individu yang menjadi wakil kepada bekas pemimpin kanan kerajaan negeri musim lalu.

“Selain wang tunai mereka juga turut menawarkan jawatan menteri penuh jika kerajaan baharu itu menjadi kenyataan.”

“Kali terakhir saya dihubungi, tiga hari lalu dan mereka bercadang menemui saya, tetapi saya tidak melayani, sebaliknya saya menolak tawaran itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, taktik kotor kumpulan itu dengan menawarkan sejumlah besar wang ringgit dan jawatan kepada wakil-wakil rakyat dengan niat untuk kembali berkuasa adalah perbuatan yang tidak bermaruah.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang kononnya usaha memancing wakil-wakil rakyat kerajaan adalah satu tuduhan,beliau berkata, Presiden Star Sabah itu lebih kepada melindungi aib pembangkang kerana taktik kotor mereka terbongkar.

Dalam laporan akhbar semalam, Dr. Jeffery meminta para pemimpin Warisan, DAP, PKR dan Upko menghentikan tuduhan terhadap Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang didakwa cuba memancing wakil-wakil rakyat kerajaan negeri.

“Tindakan melamar wakil-wakil rakyat dari blok kerajaan negeri itu bukan lagi khabar angin sebaliknya perkara itu memang berlaku dan saya sendiri turut dilamar dengan tawaran lumayan.

“Kumpulan bekas pemimpin yang kehilangan kuasa itu menggunakan agen atau ‘broker’ untuk membeli wakil-wakil rakyat  supaya berpindah menyokong Perikatan Nasional (PN),”kata kenyataan itu.

Selain itu, kebanyakan wakil-wakil rakyat yang telah dilamar itu melaporkan mereka ditemui agen berkenaan dan dijanjikan jaminan wang deposit sepuluh peratus daripada jumlah yang ditawarkan selepas menandatangani perjanjian, sementara bakinya akan dibayar kemudian setelah kerajaan negeri PN berjaya dibentuk.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha tidak bermaruah kumpulan pembangkang itu tidak mengugat integriti barisan wakil-wakil rakyat kerajaan yang ada pada masa kini, sebaliknya mereka telah menyatakan taat setia kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

Lagipun, katanya  tidak ada sebab wakil-wakil rakyat Warisan, DAP, PKR dan Upko akan berpindah sokongan kerana wujud keraguan berikutan kedudukan tidak stabil kerajaan PN di peringkat Persekutuan.

Justeru, beliau berkata, rakyat Sabah tidak perlu bimbang dengan perkembangan tersebut kerana usaha yang dicanangkan oleh kumpulan yang kehilangan kuasa itu tidak menarik minat wakil-wakil rakyat kerajaan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2349