Dua PATI Kelaparan Serah Diri

TAWAU: Penduduk Kampung Batu Payung, di sini, sekali lagi berjaya menahan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas pasangan bapa dan anak itu keluar menyerah diri, hari ini.

Ssuspek masing-masing berumur 40-an dan 15 tahun itu, dikatakan keluar dari persembunyian mereka akibat kelaparan selepas hampir dua hari bersembunyi di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran.

Pasangan anak-beranak tersebut terpaksa menahan sejuk selepas hujan lebat selama lebih dua jam dilaporkan berlaku di kampung berkenaan, awal pagi tadi.

Difahamkan suspek pergi ke rumah penduduk dan merayu diberikan makanan.

Menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Awang, 50-an, suspek mengaku antara Pati yang menyeludup masuk dari Indonesia ke perairan Batu Payung, malam kelmarin, dan bersembunyi di dalam kebun penduduk bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

“Lelaki dewasa itu bersedia untuk diserahkan kepada pihak berkuasa dan terpaksa menyerah diri selepas anaknya tidak dapat menahan lapar.

“Selepas memastikan mereka tidak berbahaya, saya meminta isteri menyediakan bihun goreng dan nasi untuk diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Tambah Awang, suspek yang lebih muda itu kelihatan tidak dapat menahan sebak apabila beberapa kali menangis ketika menjamah makanan

“Walaupun mereka melakukan kesalahan, tetapi sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kepada saya untuk memberikan makan dan minum.

“Kemudian, saya memaklumkan Ketua Kampung sebelum polis dan pasukan perubatan tiba bagi tindakan lanjut,” katanya.

Selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Sri Indah bagi tujuan rekod sebelum dihantar ke pusat kuarantin.

Semalam, Borneo Today melaporkan tindakan bertanggungjawab penduduk Kampung Batu Payung apabila berjaya memberkas 18 PATI termasuk seorang bayi berumur 3 bulan selepas dikesan baru mendarat di pesisir pantai di situ.

Kumpulan PATI berkenaan dikatakan bergerak dari Sungai Nyamuk, Indonesia, dan menyeludup masuk ke perairan daerah ini sebelum bergerak ke Lahad Datu dan Kunak untuk bekerja.

Sebahagian daripada mereka mempunyai passport sah namun memilih jalan tikus  selepas Kerajaan Sabah masih menutup pintu masuk sempadan kepada negara jiran susulan Covid-19.

Bagaimanapun, sebahagian lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain dokemen perjalanan tamat tempoh.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *