COVID-19: Kes Baharu Di Kota Kinabalu Dikesan Melalui Saringan Penjara

KOTA KINABALU: Satu kes baharu Covid-19 dilaporkan di Kota Kinabalu membabitkan warga Filipina yang dikesan melalui saringan penjara.

Dengan adanya kes baharu ini, ia menjadikan daerah Kota Kinabalu sekali lagi kembali sebagai zon kuning dengan bilangan kumulatif kes sebanyak 70.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 384 kes.

Bilangan kes aktif yang masih dirawat di hospital berpakar seluruh Sabah adalah sebanyak lima kes termasuk Kota Kinabalu. Kes aktif lain masing-masing dilaporkan di Tawau, Sandakan, Putatan dan Nabawan.

Beliau berkata, tiada sebarang kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 372 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan tujuh kes iaitu empat kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Keningau dan Tambunan.

Di seluruh Malaysia, sebanyak sembilan kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,840 kes. Kes baharu itu terdiri daripada enam kes tempatan dan tiga kes import.

Bilangan kes aktif di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 143 kes.

Manakala, terdapat lapan kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 8,574 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 123 kematian.

Seramai lima pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua memerlukan bantuan alat pernafasan.
BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3719