Wanita Hamil Buat Laporan Palsu Disamun

Lokasi kononya mangsa disamun dua lelaki.

LABUAN: Laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita hamil bahawa dia diragut pada Selasa lalu hanya rekaan selepas wang RM4,000 yang didakwa hilang sebenarnya habis digunakan untuk berjudi atas talian.

Laporan itu disahkan palsu selepas siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan wanita berusia 33 tahun terbabit yang kononnya dia diragut dua lelaki di tandas sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, susulan daripada laporan itu, satu siasatan dibuat bagi mengesan dua suspek terbabit.

“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati tiada pengeluaran wang dibuat oleh mangsa di sebuah bank pada hari kejadian seperti yang didakwa sebaliknya dia hanya memasukkan wang ke dalam akaunnya sendiri.

“Kemudian mangsa berjalan di sekitar Pekan Baru dan pergi ke lorong belakang sebuah restoran untuk menggunakan tandas.

“Ketika itu, mangsa terjatuh sendiri kerana pening dan keluar berjalan untuk meminta bantuan daripada kakitangan restoran terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Muhamad Farid berkata, mangsa mengaku bahawa kecederaan yang dialaminya adalah disebabkan terjatuh sendiri ketika ditandas dan bukannya akibat disamun.

“Mangsa juga membuat pengakuan menggadaikan satu cincin emas dan satu gelang tangan emas miliknya pada 7 Julai lalu, manakala rantai emas yang didakwa hilang akibat diragut dalam laporan polis adalah tidak wujud.

“Mangsa mengaku bahawa tiada kejadian samun seperti yang dilaporkan dan kehilangan wang tunai RM4,000 itu adalah milik suaminya yang telah digunakan sebagai pertaruhan judi atas talian,” katanya.

Muhamad Farid berkata, berdasarkan siasatan, mangsa didapati memberi keterangan palsu kepada pihak polis yang menjalankan siasatan.

“Perbuatan memberi keterangan palsu boleh diambil tindakan mengikit Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Farid menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel, kenyataan yang tidak sahih atau tidak tepat yang boleh mendatangkan perasan takut atau kegusaran awam.

Semalam, Borneo Today melaporkan seorang wanita hamil lima bulan cedera akibat disamun dan wang tunai RM4,000 serta rantai yang dipakainya dilarikan dua lelaki yang tidak dikenali.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *