Penduduk Kampung Batu Payung Berkas 18 PATI Baru Mendarat

Penduduk menyantuni Pati dengan memberikan air dan makanan.

TAWAU: Penduduk Kampung Batu Payung layak menerima pujian apabila sanggup melancarkan gerakan memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan mereka selepas menerima maklumat terdapat 20 warga Indonesia baru mendarat secara haram di kampung berkenaan.

Selepas menerima maklumat berkenaan, penduduk kampung melancarkan gerakan memburu kesemua PATI itu bermula pukul 8 malam tadi di sepajjang 700 meter pesisir pantai itu.

Tindakan berani itu berjaya membawa kejayaan apabila sembilan PATI termasuk seorang bayi berjaya diberkas ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah longkang besar.

Ketua Kampung Batu Payung, Amat Salleh berkata, pihaknya kemudian menghubungi polis sebelum menyerahkan semua PATI tersebut untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, ada penduduk mendakwa melihat beberapa individu lain dipercayai kumpulan PATI yang sama melarikan diri dan bersembunyi di kawasan sekitar.

“Kami meneruskan pencarian termasuk di tanah perkuburan dan kebun kelapa sawit,” katanya.

Berikutan itu katanya, pagi ini, penduduk kampung meneruskan rondaan memburu baki PATI berkenaan dan berjaya memberkas sembilan orang lagi iaitu enam lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak.

Katanya, semua PATI itu juga telah diserahkan kepada polis tengah hari ini.

“Sejak malam tadi kami menyebarkan maklumat kemasukan PATI di dalam WhatsApp, bagi memaklumkan penduduk agar berhati-hati dan memerhatikan individu tidak dikenali di kawasan mereka.

“Justeru, apabila ternampak kelibat orang asing, penduduk segera memaklumkan saya sebelum kami datang melakukan pemeriksaan,” katanya.

Tambah Amat, dia turut beberapa kali mengingatkan penduduk untuk tidak menyentuh PATI atau barang mereka kerana bimbangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Sebagai masyarakat tempatan, kami menyahut seruan kerajaan untuk bekerjasama memerangan Covid-19.

“Kemasukan PATI dari negara jiran sebenarnya membimbangkan kami kerana tidak mengetahui status kesihatan sebenar mereka,” katanya.

Sementara itu, wartawan Borneo Today yang berada di lokasi mendapati penduduk saling bekerjasama mencari suspek yang bersembunyi di kawasan kebun kelapa sawit sehingga menemui sebahagian daripada mereka.

Sebahagian daripada penduduk sanggup meredah semak samun dan mendaki lereng bukit bagi memburu suspek.

Namun begitu, ada juga penduduk menyantuni kumpulan Pati berkenaan dengan memberikan makanan dan minuman terutamanya kanak-kanak dan wanita, sebelum diserahkan kepada polis.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *