Koperal & Lans Koperal Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah

Dua tertuduh (tertuduh pertama di belakang sebelah kiri dan tertuduh kedua, di hadapan sebelah kiri) dituduh menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh Baharuddin Tuge, 42, menghadapi tiga pertuduhan manakala Mohd Izzam Gorudin Abdullah, 35, menghadapi satu pertuduhan masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan pertama, Baharuddin melakukan kesalahan itu pada 7 Ogos 2017 kira-kira pukul 4.30 petang di dalam sebuah kenderaan di Jalan Inobong Putaton Bunsadon, Penampang.

Tertuduh sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Koperal Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah secara rasuah menerima satu suapan wang tunai RM500 daripada Mohd Shafiqqurasi Alitus Abdullah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kepada penama kerana memiliki dadah jenis syabu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 8 Ogos pukul 10.41 pagi di Maybank Cawangan Donggongon, Penampang, secara rasuah memperoleh satu suapan wang tunai RM300 daripada Mohd Shafiqqurasi Alitus Abdullah yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kepada penama kerana memiliki dadah jenis syabu.

Menurut pertuduhan ketiga pula, tertuduh pada 7 Ogos 2017 kira-kira pukul 3.20 petang bertempat di hadapan pejabat The Light Residence Condominium Jalan Joungkil Nosoob, Penampang, telah secara rasuah meminta suatu suapan wang sebanyak RM1,500 daripada Cheung Lai Peng sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya iaitu Mohd Shafiqqurasi Alitus Abdullah kerana memiliki dadah jenis syabu.

Manakala tertuduh Mohd Izzam dituduh melakukan kesalahan itu pada 7 Ogos 2017, kira-kira pukul 2.30 petang di dalam sebuah kenderaan di tepi Jalan Inobong Putaton, Bunsadon, Penampang sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Lans Koperal PDRM yang bertugas di Bahagian Narkotik IPD Penampang, telah secara rasuah meminta suapan sebanyak RM2,500 daripada Mohd Shafiqqurasi Alitus Abdullah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap penama kerana memiliki dadah jenis syabu.

Sehubungan itu, Baharuddin telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama manakala Mohd Izzam telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16(a)(B) akta akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Abu bakar membenarkan Baharuddin dijamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 manakala Mohd Izzam dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 masing-masing bersama seorang penjamin tempatan.

Kedua-dua tertuduh juga diarahkan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh  Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Micheal Joimin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azhier Arisin.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *