Kediaman ADUN Moyog & ADUN Kepayan Didatangi ‘Ejen’ Tawar Lompat Parti

KOTA KINABALU: Dua lelaki dipercayai bertindak sebagai ejen kepada pemimpin politik hadir di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Jenifer Lasimbang di Penampang semalam bagi mengemukakan tawaran tertentu untuk melompat parti.

Kedua-dua individu itu dikatakan turut berjumpa dengan ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang yang juga kakak Jenifer bagi memberikan tawaran sama.

Difahamkan, ejen berkenaan berjanji jika Jenifer bersetuju untuk meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan), beliau akan diberikan wang dan jawatan sebagai menteri.

“Mereka datang di pejabat ADUN Moyog semasa mesyuarat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk berjumpa dengan beliau.

“Pada masa itulah dua ejen berkenaan memperkenalkan diri sebagai wakil kepada pemimpin politik tertentu untuk menyampaikan tawaran berkenaan.

“Kehadiran dua lelaki itu ada dirakam kerana pejabat tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV),” kata sumber kepada Borneo Today.

Jenifer yang dikatakan terkejut dengan tawaran berkenaan bagaimanapun menolak dan kekal dengan Warisan.

“Tidak lama selepas kedua-dua lelaki itu balik,  Jenifer dihubungi oleh kakaknya, Jannie yang turut memaklumkan didatangi dua lelaki dipercayai individu sama,” katanya.

Borneo Today sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan daripada kedua-dua wakil rakyat berkenaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *