Palembang: Datuk durjana. Itu gelaran layak diberikan kepada seorang lelaki apabila bukan saja tergamak memperkosa cucu sendiri malah mengugut untuk menggunakan ilmu hitam sekiranya perbuatan kejinya terbongkar.
Lelaki dikenali sebagai Syafei, 53, itu berasal dari Kertapati, di sini, dipercayai sudah melakukan perbuatan terkutuknya itu sejak empat tahun lalu tanpa disedari ahli keluarga yang lain.
Perbuatan lelaki terbabit terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian kepada ahli keluarganya kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh datuk sendiri.
Terkejut dengan pengakuan itu, keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis.
Suspek yang berjaya dikesan ditahan polis dari Unit Perlindungan Wanita dan Anak Polis Ogan Ilir selepas siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polisnya, AKP Robby Sugara memaklumkan, dalam laporannya mangsa enggan membuat laporan polis walaupun kejadian sudah berlaku empat tahun lalu kerana bimbang suspek menggunakan ilmu hitam terhadapnya.
Katanya, suspek mengugut untuk berbuat demikian kerana tidak mahu perbuatan kejinya terhadap cucu sendiri diketahui ahli keluarga yang lain.
“Bagaimanapun, sebaik ditangkap, suspek diserang strok sehingga menyebabkan dia dikejarkan ke hospital berhampiran,” katanya kepada Kompas.com.
Suspek yang turut berada di balai polis hanya mendiamkan diri ketika ditanya wartawan alasan dia sanggup melakukan perbuatan keji terhadap cucu sendiri.
Lelaki itu boleh dikenakan hukuman 15 tahun penjara mengikut Undang-Undang Perlindungan Anak.- Agensi
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost