Trump Didakwa Berbohong 20,000 Kali

Donald Trump

WASHINGTON: Washington Post mendakwa Donald Trump membuat 20,000 kenyataan palsu dan mengelirukan walaupun belum sepenggal menyandang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS).

The Guardian melaporkan, ia berdasarkan semakan dilakukan pemeriksa fakta dan ruangan Fact Checker akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) itu.

Pada 9 Julai lalu saja, Trump dikatakan mengeluarkan 62 kenyataan palsu dengan sebahagian besar daripadanya menerusi temu bual dengan hos Fox News, Sean Hannity.

Ia termasuk sokongannya kepada komuniti Afrika Amerika dan dakwaan diintip oleh Barack Obama dan Joe Biden, ketika kempen Pemilihan Presiden pada 2016.

Dalam pada itu, Washington Post mewujudkan pangkalan data dan meneliti setiap kenyataan yang dibuat Trump dalam tempoh 100 hari bergelar presiden.

Akhbar berkenaan meneliti setiap sidang media, penampilannya pada perhimpunan dan program televisyen di samping kandungan media sosial.

Hasilnya, mereka mengenal pasti 492 kenyataan palsu dan mengelirukan, atau purata lima kali sehari sepanjang tempoh berkenaan.

Sejak itu, pemeriksa fakta mendedahkan apa yang disifatkan sebagai ‘tsunami pembohongan’ Trump.

“Jumlah kenyataan palsu dikeluarkan Trump kemungkinan melebihi 20,000 sebelum beliau menghabiskan penggalnya,” tulis pengarang, ketua penulis dan pemeriksa fakta, Salvador Rizzo dan Meg Kelly.

Kolum itu juga mendedahkan Trump sudah melakukan hampir 1,200 pembohongan dan kenyataan palsu berhubung pandemik Covid-19.

Trump dikatakan sering kali menyatakan AS memiliki rekod ujian terbaik bagi virus itu sedangkan pakar memberitahu ia tidak selari dengan tahap penularan wabak berkenaan.

Kakitangan pemeriksa fakta juga mendapati pembohongan Trump paling prolifik adalah selepas mendakwa ekonomi AS di bawah pentadbirannya adalah yang terbaik.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

970