Penunggang Motosikal Maut Rempuh Van Di Tuaran

Keadan motosikal mangsa selepas rempuh sebuah van di Jalan Tuaran-Kota Belud.

TUARAN: Lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Pendamai 1, Jalan Tuaran-Kota Belud, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 34 tahun parah di bahagian badan dan kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Keadaan van selepas dirempuh motosikal.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan membabitkan motosikal dan van.

“Siasatan awal di lokasi kejadian, mendapati van yang dipandu lelaki berusia 61 tahun itu dalam perjalanan dari arah Tuaran menuju ke arah Kota Belud manakala motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kota Belud menuju ke arah Kota Kinabalu.

“Ketika kejadian, mangsa berada di jalan lurus dan telah terlanggar van yang keluar secara tiba-tiba dari simpang tiga Jalan Pendamai 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan kanan van terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan kepala serta disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Tuaran yang tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu van pula tidak mengalami sebarang kecederaan namun kedua-dua kenderaan rosak di bahagian depan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1376