Perkhidmatan Bas Percuma Ulang Alik Kiulu-Tamparuli

TUARAN: Lebih 50,000 penduduk di Kiulu bakal menikmati perkhidmatan bas percuma secara ulang alik pekan Kiulu dan Tamparuli.

Program berkenaan adalah kerjasama antara Persatuan Pengusaha Bas Kiulu dan Persatuan Belia Kiulu dengan dana adalah daripada ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Kiulu, Peris Gasingul, berkata program berkenaan pastinya memberi manfaat kepada penduduk Kiulu khususnya yang ingin ke Tamu Kiulu pada setiap Selasa dan Tamu Tamparuli pada setiap Rabu.

“Ia juga dapat memberi manfaat dan meringankan beban petani-petani di kawasan Kiulu yang ingin menjual hasil jualan mereka pada hari tamu,” katanya.

Sementara itu, Madius berharap penduduk Kiulu akan memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan pengangkutan bas percuma itu.

“Saya juga akan berunding dengan persatuan pengusaha bas kiulu bagaimana membantu murid-murid asrama SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Tun Fuad Stephens yang memerlukan pengangkutan bas ekoran penutupan asrama sekolah berkenaan yang telah diisytiharkan tidak selamat oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Madius turut memberi sumbangan beras kepada pengusaha-pengusaha bas di Kiulu.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *