Sektor Pelancongan Sabah Akan Bertambah Baik Dalam Masa Beberapa Bulan

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew optimistik dalam sebarang kemungkinan untuk melonggarkan sekatan sempadan negeri ini kepada pelancong antarabangsa sepanjang tempoh pasca COVID-19.

Katanya, khususnya dari China kerana negara terbabit sudah mengumumkan untuk membuka sempadannya kepada pelancong dari negara zon hijau.

“Ini adalah pengumuman baik kepada negara-negara dalam kategori zon hijau termasuk Malaysia. Sekiranya mereka (pelancong China) dibenarkan memasuki Malaysia, sudah pasti secara tidak langsung para pelancong ini akan datang ke Sabah.

“Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide turut memaklumkan kepada saya bahawa China akan meneruskan penerbangan laluan Hangzhou-Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, selepas mengadakan pertemuan dengan Liang Caide pada Khamis lalu.

Beliau berkata, China merancang untuk membuka kembali Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou, dan AirAsia X juga telah mengenal pasti enam laluan termasuk Hangzhou – Kuala Lumpur.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam perbincangan  berkenaan turut mengenal pasti wilayah-wilayah China yang boleh diterokai untuk menarik penduduknya melancong ke Sabah.

“Selepas empat bulan tutupnya perniagaan di sini, kini kita boleh nampak sesuatu yang positif untuk bulan-bulan akan datang.

“Kami yakin keadaan akan pulih seperti biasa menjelang akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

“Kita juga akan mengguna pakai pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk mengeluarkan visa negara ini kepada pelancong China,” katanya.

Sementara itu, Liang menjelaskan Kedutaan dan Konsulat Malaysia di China telah berhenti untuk mengeluarkan visa kepada rakyat China yang berhasrat melancong ke Malaysia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

Katanya, China bagaimanapun masih mengekalkan penerbangan domestik mereka untuk terbang sekali seminggu ke luar negara, sementara penerbangan asing boleh terbang ke China lebih daripada sekali dalam seminggu.

“Untuk kini, saya difahamkan penerbangan diantara Malaysia dan China masih disekat tetapi hanya menerbangkan rakyat China kembali ke negara asal.

“Penerbangan ke Kuala Lumpur dari China pula hanya terhad kepada warga China yang betul-betul mempunyai pas lawatan yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Christina turut menjemput Liang bersama-sama melawat ke destinasi pelancongan di Sabah seperti Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum di Lahad Datu dalam masa terdekat ini.

“Dengan cara ini, beliau mampu membantu mempromosikan Sabah kepada sesetengah wilayah China yang kurang mengetahui mengenai negeri ini,” katanya.

Hadir sama dalam perbincangan itu ialah Naib Konsul Jeneral Wu Xiaoqing dan Wang Kai, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman serta tetamu kehormat yang lain. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1368