Kes Baharu Covid-19 Di Nabawan Libatkan Ibu Mengandung

KOTA KINABALU: Kes baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini melibatkan seorang ibu mengandung yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Nabawan dan perlu dirujuk ke hospital berpakar.

Kes yang dikategorikan kes tempatan ini telah dimasukkan ke wad Hospital Keningau untuk rawatan selanjutnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan berkata, pengesanan kontak sedang giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Nabawan.

Beliau berkata, pengesanan kes terbaru itu menjadikan kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah meningkat kepada 380 kes.

Katanya, setakat ini, hanya tinggal enam kes aktif di Sabah. Manakala, bilangan kumulatif kes pulih pula adalah sebanyak 367 kes dengan kematian kekal tujuh kes.

Untuk mereka yang menjalani kuarantin pula, masih terdapat 1,058 orang masih menjalani kuarantin di seluruh Sabah. Daripada jumlah itu, 887 orang dikuarantin di rumah dan 171 orang menjalani kuarantin di 11 buah pusat kuarantin.

Bilangan kumulatif individu yang telah tamat menjalani kuarantin di seluruh Sabah pula adalah seramai 71,435 orang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *