UMNO Sabah Akan Pertahan Semua Kerusi Tradisi – Bung

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, kerusi yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum ke-14 tidak termasuk dalam rundingan.

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan mempertahankan semua kerusi tradisi parti itu sekiranya pilihan raya umum mengejut diadakan.

Pengerusinya Bung Moktar Radin berkata, ini termasuklah kerusi yang kini diwakili oleh bekas ahli Umno yang melompat parti.

“Kami akan bekerja dengan parti lain yang tidak bersekutu dengan Warisan.

“Pada dasarnya, Umno Sabah akan bertanding di semua kerusi tradisi parti.

“Rundingan berhubung kerusi lain akan ditentukan dengan pihak lain selepas ini. Bagaimanapun kerusi yang telah dimenangi oleh Umno tidak termasuk dalam rundingan,” katanya kepada FMT hari ini.

Umno Sabah bertanding di 14 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14, iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Kinabatangan, Silam, Libaran, Semporna dan Kalabakan.

Ia kalah di Kota Belud, Sepanggar, Papar, Tenom, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Ahli Parlimennya bagi Kudat (Abdul Rahim Bakri), Beaufort (Azizah Mohd Dun), Sipitang (Hafez Yamani Musa), Beluran (Ronald Kiandee) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran) menyertai PPBM Sabah pada April tahun lepas.

Berikutan pengumuman naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob malam tadi bahawa Umno Sabah boleh memilih untuk bekerjasama dengan PPBM negeri itu, Bung membuat kenyataan di Twitter bahawa Umno Sabah akan mempertahankan semua kerusi Parlimen yang dimenanginya serta kerusi lain yang dipercayai boleh menangi bagi membuktikan kekuatan parti itu.

Jelas bahawa Bung memberi respons terhadap kenyataan ahli Parlimen PPBM Mersing Abdul Latiff Ahmad sebelum itu yang mendakwa Umno hilang sokongan di Sabah.

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain mengesahkan pendirian Bung dengan berkata, isu itu sudah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua pemimpin tertinggi Umno negeri itu malam semalam.

Beliau juga berkata, Umno Sabah akan menuntut semua kerusi tradisinya untuk menjelaskan kepada PPBM bahawa semua ahli Parlimennya di negeri itu memenangi kerusi tersebut atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas.

Tidak seperti gabungan Perikatan Nasional (BN) di semenanjung dan Gabungan Parti Sarawak, Sabah bakal menyaksikan kerjasama BN Plus di pihak blok pembangkang negeri itu.

BN Plus terdiri daripada Umno Sabah, PBS, MCA, STAR Sabah dan PPBM Sabah.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1224