Tun M Kekal Pilih Shafie Calon PM, Selepas PH Umum Anwar

PETALING JAYA: Bekas pemimpin PPBM diketuai Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan akan tetap menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri dan turut memutuskan untuk berada di blok Bebas sama ada di dalam atau di luar Parlimen.

Mahathir dalam kenyataan bersama 5 bekas pemimpin PPBM berkata, pihaknya masih berpegang kepada cadangan yang dibuat oleh Amanah dan DAP, yang mencadangkan Shafie sebagai calon perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pertama dan Mukhriz Mahathir timbalan perdana menteri kedua.

“Saya dan rakan-rakan ahli Parlimen PPBM mengambil ketetapan untuk berpegang pada keputusan yang diambil akhir bulan Jun, iaitu untuk menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

“Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, ia tidak melibatkan saya dan rakan-rakan dari PPBM mahupun Warisan.

“Kami juga membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok Bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dipersetuju 5 ahli Parlimen lain, iatu Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Terdahulu, PH mengumumkan bahawa gabungan itu “komited” dengan pendirian asal berhubung calon perdana menterinya, iaitu Anwar.

Pengumuman itu menyusuli mesyuarat Majlis Presiden PH, yang turut membincangkan pencalonan Shafie.

Menurut mereka, DAP dan Amanah sewaktu menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai lalu tidak berpegang pada keputusan menamakan Shafie, sebaliknya menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri.

“Pencalonan Shafie sebagai perdana menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil. Ia bukan sahaja kerana kita percaya beliau berkeupayaan mendapatkan sokongan majoriti, tetapi langkah ke hadapan demi meningkatkan hubungan Semenanjung dan Sabah, Sarawak,” kata Mahathir.

Pada masa sama, beliau turut berkata, pihaknya menentang sebarang usaha menggantikan speaker Dewan Rakyat dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kami masih utamakan perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya kerajaan kleptokrasi,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *