Jangan Bertindak Melampau Hanya Kerana Kami Tidak ‘Melompat’ – Shafie

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengesahkan Jabatan Pendidikan menjemputnya merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah hari ini sebagai penghargaan kepada usaha Kerajaan Sabah memberikan pelbagai bantuan kepada sekolah-sekolah seluruh negeri.

Ketua Menteri berkata, beliau telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri program berkenaan, namun dimaklumkan petang semalam bahawa jemputan tersebut telah dibatalkan.

“Memang mereka telah maklumkan saya dijemput, pasal saya telah melawat beberapa sekolah-sekolah yang ada di negeri Sabah bila mana kita mula buka kita bagi pensanitasi tangan saya bekalkan 750 (750,000) pelitup muka kepada sekolah seluruh negeri Sabah, 221, 15 swasta.

“Lepas itu kita juga kerajaan negeri bekalkan 60,000 botol pensanitasi tangan kepada sekolah-sekolah dan juga masa itu saya pergi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Padang berasrama penuh di situ dan kita bagi bantuan peruntukan beberapa ribu di situ ratusan ribu termasuk juga di sekolah swasta Peter Mojuntin di Penampang.

“Lepas itu mereka maklumkan bolehkah kami jemput merasmikan Hari Guru nanti dan saya terus terima tetapi saya difahamkan semalam petang datuk tidak boleh datang,” katanya dalam sidang akhbar ketika ditanya mengenai tindakan Jabatan Pendidikan negeri membatalkan jemputan kepada beliau pada saat akhir semalam.

Semalam, Borneo Today melaporkan mengenai tindakan jabatan itu membatalkan jemputan kepada Ketua Menteri pada saat akhir yang dipercayai melibatkan pengaruh politik memandangkan jabatan berkenaan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan.

Pembatalan tersebut mendapat reaksi marah daripada orang ramai terutama selepas melihat keikhlasan Ketua Menteri selama ini menyalurkan bantuan daripada kerajaan negeri kepada banyak sekolah walaupun pihak yang sepatutnya bertanggungjawab membantu ialah Kerajaan Persekutuan.

Sambutan tersebut tetap dijalankan hari ini dengan kehadiran Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd. Nor sebagai perasmi.

Mohd. Shafie berkata, tindakan itu tidak akan menggugat fokus beliau untuk membangunkan sektor pendidikan negeri kerana sekolah adalah tempat anak-anak rakyat Sabah menuntut ilmu.

Justeru katanya, apa sahaja keputusan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan adalah hak mereka, namun beliau memberi peringatan bahawa kerjasama antara kerajaan G2G perlu diteruskan jika manu membangunkan negara dengan baik.

“Itu tidak apa perkara yang kita tinggalkan saya sudah maklumkan kita kerajaan negeri kita G2G kita kerjasama kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan itu hak mereka saya tidak boleh nak jemput, tidak jemput itu terserah pada mereka.

“Tetapi tujuan kita selaku kerajaan negeri bantu anak-anak yang masuk sekolah ini anak-anak kita bukan anak menteri yang membatalkan lawatan saya ke situ tidak apa bukan perkara yang besar tetapi saya harap kita jangan telampau sangat, kita mahu membina sebuah negara,” katanya.

Tegasnya, pendirian politik perlu dikesampingkan dalam soal mentadbir negara bukannya memberi tekanan disebabkan wakil rakyat Sabah tidak mahu melompat parti untuk menyokong Kerajaan Persekutuan.

“Sebuah negara yang disebutkan Malaysia walaupun kita dipisahkan Laut China Selatan jangan kita dipisahkan kerana politik kita, politik letak tepi dan kita nak bangun negara pasal saya yakin Kementerian Pendidikan juga memerlukan tanah, tanah ini bukan Kerajaan Persekutuan punya, kerajaan negeri punya, pihak polis pun perlu tanah, tentera pun perlu tanah pejabat Persekutuan pun perlu tanah macam mana, hospital pun perlu tanah jadi macam mana nak bagi tanah kalau tidak ada kerjasama dengan kerajaan negeri.

“Kita kerjasama tetapi janganlah oleh kerana kerjasama kerajaan negeri orang kita tak boleh melompat janganlah terus tekan sana tekan sini, ini sistem demokrasi yang ada di negara kita, bila mereka melompat tidak apa saya tidak halang orang lompat sana saya tidak beritahu tekanan sana tetapi saya beritahu kita kerjasama sebagai sebuah negara,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6758