Jabatan Pendidikan Batal Jemput Shafie Rasmi Hari Guru

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Sabah difahamkan membatalkan saat akhir jemputan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan esok.

Pembatalan tersebut dipercayai melibatkan campur tangan politik memandangkan Jabatan Pendidikan terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Pendidikan.

Difahamkan, Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah baru sahaja dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut petang tadi.

Semalam, semua media tempatan dan arus perdana telah menerima jemputan melalui Whatsapp daripada Jabatan Pendidikan untuk membuat liputan sambutan berkenaan bermula 7.30 pagi dan akan diakhiri dengan ucapan perasmian Ketua Menteri.

Borneo Today telah menghubungi Pengarah Pendidikan, Dr Mistrine Radin untuk mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan berkenaan, namun belum berjaya.

Bagaimanapun jabatan itu melalui Whatsapp memaklumkan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd. Nor akan menggantikan Ketua Menteri untuk merasmikan majlis itu.

Jika benar wujud campur tangan politik, perbuatan tersebut adalah sangat tidak menghormati Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri yang sentiasa berlaku adil kepada agensi kerajaan tidak kira Persekutuan atau negeri.

Sejak memerintah Sabah, Mohd. Shafie telah melawat beberapa sekolah daif di negeri ini dan meluluskan segera bantuan daripada kerajaan negeri walaupun hakikatnya peruntukan itu perlu datang daripada Kerajaan Persekutuan.

Antaranya Sekolah Kebangsaan Long Pasia membabitkan peruntukan membaik pulih bilik guru dan tandas asrama di situ serta peruntukan melengkapkan pembinaan banguan sekolah St. Joseph di Papar.

Baru-baru ini, Mohd. Shafie turut meluluskan peruntukan RNM500,000 daripada Kerajaan Sabah untuk membina dewan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu serta bantuan kantil dan tilam di asrama SMK Datuk Peter Mojuntin.

Dalam menangani penularan wabak Covid-19 pula, Ketua Menteri telah mengeluarkan perbelanjaan negeri untuk memberikan pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada semua 221 sekolah di seluruh Sabah.

Mohd. Shafie dalam ucapannya di banyak program sebelum ini sentiasa menegaskan bahawa beliau tidak mahu sistem pentadbiran yang pilih kasih, malah walaupun Kerajaan Sabah tidak sebulu dengan Perikatan nasional, namun hubungan baik perlu diteruskan demi manfaat rakyat Sabah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *