‘Ratah’ Anak Saudara Sejak Dua Tahun Lalu

Suspek ketika ditahan pihak polis. Foto Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai menjadi pemuas nafsu bapa saudaranya sejak dua tahun lalu dalam kejadian di Kampung Kuala Merotai, Tawau.

Menurut sumber, mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan suspek berusia 49 tahun itu, nekad melarikan diri pada 20 Jun lalu sebelum mengambil keputusan tinggal di rumah saudaranya.

“Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang curiga dengan tindakannya melarikan diri selain perubahan mangsa yang kerap dilihat murung kemudiannya bertanyakan mengenai hal itu.

“Selepas dipujuk, mangsa akhirnya menceritakan kejadian sebenar menimpa dirinya selain mendakwa dirogol bapa saudaranya berulang kali sejak 2018,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira 10.45 pagi semalam.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai menahan suspek di kawasan Merotai Besar pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan perintah reman ke atas suspek dikeluarkan majistret di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

11985