KOTA KINABALU: Empangan Babagon di Penampang, dekat sini yang menjadi sumber air mentah utama penduduk bandar raya ini bakal dijadikan tapak projek tenaga solar terapung yang pertama di Sabah.
Projek yang disasar mampu menjana 15 Megawatt (MW) tenaga elektrik itu dilaksanakan Jetama Sdn Bhd (Jetama) selaku syarikat konsesi air yang mengurus Empangan Babagon dan merawat air mentah dari empangan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang, berkata projek itu yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat adalah susulan kejayaan projek solar pertamanya di Labuan.
“Jetama berjaya melaksanakan projek LSS 10MW di Labuan. Projek ini mencapai operasi komersial Februari lalu dan kini menjana pendapatan tambahan yang signifikan kepada Jetama selama tempoh 21 tahun,” katanya pada sambutan Aidilfitri Jetama, malam tadi.
Yang turut hadir Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Mannan.
Selain projek tenaga boleh diperbaharui, Ahmad Naim berkata Jetama kini turut melaksanakan projek inovasi untuk menghasilkan batu-bata daripada lumpur yang menjadi sisa buangan terjadual loji rawatan air (LRA).
Sementara itu, Masidi memuji kesungguhan Jetama selaku sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dalam mengembangkan perniagaannya sehingga merekodkan prestasi kewangan yang membanggakan pada tahun lalu.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost