Sebahagian Individu Masih Dikuarantin Di Tawau Masuk Dari Jalan Tikus

Hussien Mohd Nor

TAWAU : Seramai 105 individu masih dikuarantin di Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau sehingga hari ini.

Penyelia Pusat Kuarantin IPG Tawau, Kapten (APM) Hussien Mohd Nor berkata jumlah itu terdiri daripada 48 lelaki dan 57 wanita.

“Sebahagian daripada mereka adalah yang masuk ke Sabah melalui laluan laut (tikus) serta belum habis tempoh kuarantin.

“Mereka akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas disahkan negatif Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Tawau dan habis tempoh kuarantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan rekod, 60 individu adalah warga tempatan, 39 orang warga asing manakala selebihnya adalah pendatang asing tanpa izin.

Tambah Hussien, selain pusat kuarantin, seramai 49 orang dikenakan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

“Pusat kuarantin tidak akan ditutup selagi masih ada individu dalam siasatan (PUI) dan sehingga diarahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tawau,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1864