Rumah ADUN Kuamut Diserbu LHDN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut terus menjadi ‘tumpuan’ pihak tertentu selepas sembilan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu kediaman beliau di Kepayan hari ini.

Menurut sumber, semua pegawai dari Kuala Lumpur itu datang pada pukul 9 pagi tadi tanpa memberikan apa-apa notis terlebih dahulu.

Katanya, tiada sebarang dokumen diambil, cuma mereka mengambil gambar dari pelbagai sudut di dalam kediaman Masiung.

“Mereka sampai depan rumah pukul 9 pagi dan masuk pada pukul 12 tengah hari serta menunjukkan kad kuasa sebagai pegawai LHDN.

“Kami tidak tahu motif mereka kerana tidak dimaklumkan cuma yang pasti mereka ambil banyak gambar dalam rumah,” katanya.

Kata sumber itu, kehadiran pegawai LHDN berkenaan merupakan tekanan politik berterusan pihak tertentu terhadap Masiung untuk berpaling tadah daripada menyokong Parti Warisan Sabah.

Sebelum ini, Masiung membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas menerima ancaman daripada beberapa individu yang tidak dikenali di kediamannya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

20635