Tiada Masalah Dengan Musa Berhubung Permohonan Salleh Masuk UMNO, Kata Bung

Bung Moktar Radin (kiri) berkata, beliau saling berkomunikasi dengan Musa Aman.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin menolak dakwaan bahawa beliau dan bekas ketua menteri Musa Aman berselisih pendapat mengenai penerimaan semula bekas menteri persekutuan Salleh Said Keruak ke dalam parti itu.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Bung dan Musa bertelagah mengenai permohonan Salleh untuk kembali kepada Umno, dengan Musa didakwa menentangnya.

Bung berkata, dakwaan bahawa dan Musa bertengkar mengenai perkara itu tidak benar sama sekali.

“Ini hanyalah taktik untuk melaga-lagakan ahli Umno Sabah berhubung perkara itu.

“Tidak berlaku pertengkaran sama sekali, kami saling berkomunikasi,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu kepada FMT.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa Umno Sabah berpecah kepada beberapa kem, dengan ahli Majlis Tertinggi parti, Abdul Rahman Dahlan menyokong Musa, sementara yang lain berpihak kepada Bung.

Laporan itu turut menyebut, walaupun Umno Sabah diberikan autonomi untuk menerima sesiapa sahaja sebagai ahli, namun Bung menyerahkan permohonan Salleh kepada keputusan jawatankuasa pusat parti.

Minggu lalu, Bung mengesahkan Salleh yang juga bekas ketua menteri memohon untuk kembali kepada Umno dengan Bung menyatakan beliau menerimanya dengan hati terbuka.

Bung berkata, permohonan Salleh sedang diproses dan dalam pertimbangan.

Terdahulu, Salleh yang keluar Umno pada Disember 2018 mengesahkan beliau membatalkan permohonan untuk menyertai PKR.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *