Kluster Covid-19 Luyang Tidak Benar

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Mesej tular di laman media sosial mengenai kluster Covid-19 di beberapa kawasan taman perumahan di Luyang yang menimbulkan kebimbangan awam adalah tidak benar.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, mesej tular itu tersebar sejak 4 Julai lalu.

“Mesej tular ini telah menyebabkan kebimbangan orang ramai dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin mengesahkan bahawa mesej tular mengenai kluster Covid-19 di Luyang ini adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Antara mesej yang ditularkan menyatakan kawasan yang mempunyai kluster Covid-19 adalah di Jalan Fung Yih Ting; Taman Seri Manis Ph 2, Public Deluxe Villa; Jalan Damai; Setinggan Jalan Keramat; The Bay Residence dan Jalan Fu Yen Ting.

Mesej tular itu juga meminta orang ramai menjauhi kawasan-kawasan yang disebutkan.

Dalam pada itu, Christina berkata, Sabah masih melaporkan kes Covid-19 kerana JKNS masih memantau situasi Covid-19 melalui aktiviti saringan bersasar ke atas individu yang balik dari luar negara dan mereka yang bergejala di pintu masuk antarabangsa akan dirujuk ke hospital berpakar.

Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk terus mengamalkan norma baharu kerana wabak Covid-19 masih belum berakhir biarpun keadaan sekarang sudah terkawal.

Sehingga semalam, Sabah merekodkan 378 kes Covid-19 termasuk 12 kes aktif yang masih dirawat di enam buah hospital berpakar seluruh negeri.

Setakat ini, individu yang masih menjalani kuarantin di rumah dan pusat kuarantin adalah seramai 1,100 orang dimana 827 orang menjalani perintah kuarantin di rumah dan 273 orang menjalani kuarantin di 14 pusat kuarantin yang diwartakan.

Bilangan individu yang tamat tempoh kuarantin 14 hari di rumah dan pusat kuarantin pula adalah seramai 71,316 orang.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *