PGA Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM3 Juta Di Tawau

Kesemua rampasan tersebut dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

TAWAU: Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau berjaya merampas 239,700 bungkus rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM3 juta termasuk cukai dalam Op Benteng COVID-19 di Jalan Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, di sini.

Operasi kira-kira jam 4.30 pagi di sebuah premis tidak bernombor di Industri lorong Sri Aman Batu 3, itu dilakukan sepasukan pegawai kanan, anggota dan Ibu pejabat Polis Di Raja Malaysia dari Kompeni ‘A’ Batalion 14 PGA Tawau, bertindak atas maklumat risikan. 

Sebahagian rokok yang dirampas dalam Op Benteng COVID-19

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata operasi yang dijalankan itu turut berjaya memberkas seorang lelaki warga asing,38, dalam keadaan mencurigakan sedang memegang sebuah set walkie-talkie disyaki tonto pergerakan keluar masuk kenderaan di laluan tersebut.

“Pemeriksaan terhadap sebuah premis tidak bernombor itu mendapati pagar depan berkunci, manakala pintu belakang terbuka, namun tidak berpenghuni,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Sebahagian rokok yang dirampas dalam Op Benteng COVID-19

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam premis berkenaan berjaya menemui beberapa kotak berwarna coklat disyaki mengandungi rokok seludup dan sebuah van juga disyaki sebagai pengangkutan menghantar rokok-rokok seludup untuk pasaran dalam dan luar daerah Tawau.

“Pemeriksaan lanjut menemui 239,700 bungkus rokok jenama MILD, Extreme, Apache dan Tex dengan anggaran nilai selepas cukai sebanyak RM3,390 204.

“Kesemua barang rampasan termasuk rokok, sebuah van, satu set walkie-talkie dan sebuah telefon bimbit dianggarkan bernilai RM3,470,204,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda hingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *