Lebih 41,000 Pelajar KAFA Di Sabah Mula Bersekolah 3 Ogos Ini

TAWAU : Lebih 41,000 murid membabitkan 950 buah Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini, dijangka memulakan sesi persekolahan pada 3 Ogos depan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah, Norjeli Dais berkata, pembukaan sekolah itu dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Fatwa Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bagaimanapun, terdapat sekolah KAFA yang masih dalam pertimbangan untuk beroperasi semula terutamanya membabitkan kelas di kawasan masjid.

“Kita masih menunggu Majlis Fatwa Negeri untuk memutuskan sama ada masjid boleh digunakan (aktiviti) sepenuhnya atau tidak,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan di Kelas KAFA Baitul Farihin, Kampung Kongsi 8, di sini, hari ini.

Tambahnya, jika terdapat kelas masih belum membuat persediaan SOP atau tidak mencapai piawaian yang ditetapkan, JAKIM Sabah tidak akan membenarkan mereka beroperasi sehinggalah pematuhan dilakukan.

“Bagi kes seperti ini, kami mempertimbangkan sesi pembelajaran  diadakan secara maya.

“Ini kerana, JAKIM tidakmengambil risiko penularan Covid-19 di kelas KAFA,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *