Kerajaan Negeri Akan Naiktaraf Taman Air Panas Poring Ranau

Taman Kolam Air Panas Poring, Ranau

RANAU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, akan menaiktaraf Taman Kolam Air Panas Poring dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Christina Liew memberitahu, kementerian akan menaiktaraf destinasi  pelancongan itu pada tahun ini sebaik sahaja COVID-19 akan berakhir.

Christina Liew

Menurutnya, Taman Air Panas Poring yang tidak pernah dinaiktaraf puluhan tahun itu akan dinaiktaraf bagi memenuhi keperluan para pengunjung khususnya pelancong luar negara.

“Antara yang akan dinaiktraf ialah laluan pejalan kaki, kemudahan penginapan, penambahan dan pembesaran petak kolam air panas dan banyak lagi yang memberi keselesaan kepada para pengunjung,” jelas Christina ketika berucap pada majlis bersama Ahli Persatuan Dewan Perniagaan Tionghua Ranau di Dewan Persatuan Hakka Ranau kelmarin.

Christina, turut memeklumkan bahawa beberapa kemudahan lokasi pelancongan yang lain seperti Taman Warisan Dunia Kinabalu (Kinabalu National Park) akan turut dinaiktaraf pada masa akan datang.

Beliau menambah, kerjasama dan komitmen para pemimpin memberi galakan kepada masyarakat setempat untuk mewujudkan pusat-pusat pelancongan khususnya di Ranau sebagai satu usaha bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara, ke arah menjana pendapatan masyarakat
setempat.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Tionghua yang juga Pengerusi Persatuan Hakka Ranau, Datuk Jimmy Tham Yuk lliong dalam ucapan alu- aluannya berterima kasih atas kehadiran Christina ke majlis itu sambil menyifatkan sebagai satu suntikan semangat kepada para ahli perniagaan Tionghua dan warga Ranau yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Undang-Undang Dewan Perniagaan Tionghua Ranau, Datuk Abidin Madingkir, Pemangku Ketua Cabang PKR P.179 Ranau, Peter Sumping, Pemaju Mukim Tambiau Mohimboyon, Meretha Jaudin yang mewakili PPM Karanaan, Awasi Ganie, Para Ahli Persatuan Perniagaan Tionghua Ranau, dan para jemputan yang lain.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *