COVID-19: Kes Baharu Di KK Libatkan Petugas Kesihatan

KOTA KINABALU: Kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan semalam membabitkan petugas kesihatan yang pernah bertugas selama sebulan di pusat kuarantin Kota Kinabalu.

Kes yang dikategorikan sebagai jangkitan tempatan ini telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth dan semua kontak sekerja, serumah dan sosial pesakit telah dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan semalam berkata, setakat semalam sebanyak 13 kes aktif masih dirawat di hospital seluruh Sabah.

Manakala, bilangan individu yang masih menjalani perintah kuarantin adalah seramai 1,212 orang dimana, 942 menjalani kuarantin di rumah dan 270 dikuarantin di 12 pusat kuarantin yang masih dibuka.

Untuk individu yang telah tamat menjalani kuarantin di rumah pula adalah seramai 56,334 orang dan yang tamat tempoh kuarantin 14 hari di pusat kuarantin pula seramai 13,813 orang.

Pada 1 Julai, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 1,400 individu yang pulang dari luar negara ke Malaysia gagal menghadirkan diri ke fasiliti kesihatan terdekat bagi tujuan saringan kedua seperti yang diarahkan.

Dengan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengingatkan mana-mana individu di Sabah yang baru pulang dari luar negara dan belum mendapatkan saringan kedua agar menghubungi fasiliti kesihatan terdekat.

Christina berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan tersebut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *