Kita Perlukan Kepakaran, Kemahiran Pekerja China – Shafie

SANDAKAN: Keputusan kerajaan negeri membenarkan pekerja asing warganegara China masuk ke Sabah adalah bagi meneruskan beberapa projek tertangguh yang dilabur oleh negara itu sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata terdapat beberapa projek yang dilabur oleh China di negeri ini telah terhenti, dan kini tenaga kerja dari negara itu sedang menunggu kebenaran untuk masuk bekerja di negeri ini.

“Walaupun kita mempunyai tenaga kerja tempatan, tetapi kita memerlukan kemahiran dan kepakaran mereka. Ia juga susulan daripada perjanjian dibuat sebelum ini dengan pihak pelabur yang mana mereka akan membawa antara 200 hingga 300 tenaga kerja mahir seperti jurutera dan pekerja.

“Keputusan membenarkan mereka masuk ke sini, kami di peringkat Kabinet boleh memberi kelulusan tetapi perlu mengkordinasikannya dahulu dengan Kerajaan Pusat,” katanya di Sandakan.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan Sabah tidak membincangkan isu berkenaan, Shafie berharap keputusan membenarkan tenaga kerja warga China untuk bekerja di Sabah dapat diselesaikan.

“Masalah ini perlu diselesaikan dan saya telah minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menghubungi Kerajaan Pusat dan Jabatan Imigresen. Walaupun kerajaan negeri boleh memutuskan siapa yang boleh masuk atau tidak ke negeri ini, tetapi itu perkara yang kita ketepikan.

“Apa yang penting adalah kita bekerja dan kita sudah maklumkan isu ini kepada mereka. Bagi kita, apabila projek boleh diteruskan, ekonomi juga akan meningkat dan rakyat boleh bekerja sekaligus mempunyai gaji dan boleh menanggung keluarga mereka,” jelasnya.

Pada 1 Julai lalu, kerajaan negeri membenarkan semua perjalanan masuk ke Sabah sama ada melalui udara, darat dan laut kepada pekerja asing warganegara China yang berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun, mereka dikehendaki melakukan ujian calitan COVID-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas daripada jangkitan wabak itu.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1599