BERSATU Terus Mendapat Tempat Di Sabah – Hajiji

Datuk Hajiji Noor

TUARAN: Kemasukan ahli baharu termasuk daripada kalangan bekas ahli dan pemimpin parti lain ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menjadi petunjuk parti itu semakin mendapat tempat di hati rakyat negeri ini.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata perkembangan itu itu juga menjadi petanda cukup baik kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai parti pemerintah di peringkat Persekutuan.

“Rakyat Sabah mulai melihat kemampuan serta kredibiliti PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU mengurus tadbir negara terutama ketika berdepan cabaran COVID-19 sehingga menjadi antara negara terbaik menangani penularan wabak berkenaan.

“Saya melihat bantuan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang menghadapi kesukaran ketika krisis ini (impak COVID-19), yang membuat rakyat menyokong PN dan Perdana Menteri atas usaha murni itu,” katanya selepas menerima kemasukan 200 ahli baharu terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) ke dalam BERSATU Bahagian Tuaran, hari ini.

Hajiji berkata, BERSATU Sabah mensasarkan menambah keahlian sehingga 200,000 ahli menjelang akhir tahun ini dan yakin ia mampu dicapai memandangkan parti berkenaan kini mempunyai lebih 100,000 ahli, walaupun baru setahun bertapak di Sabah.

“Pada masa ini, kita mempunyai lebih kurang 20,000 hingga 30,000 ahli sedang menunggu untuk didaftarkan di seluruh Sabah. Bagaimanapun proses pendaftaran terbantut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, BERSATU Sabah kini membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) sekiranya ia diadakan secara mengejut dengan setiap bahagian parti akan diarahkan untuk menubuhkan jentera pilihan raya.

“Perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat BERSATU negeri Selasa ini,” katanya,

Sementara itu, bekas Ketua Penyelaras Amanah Tuaran, Ramlih Hasrih berkata, beliau keluar parti itu dan memilih menyertai BERSATU kerana yakin dengan kepemimpinan perdana menteri dan Hajiji yang disifatkannya prihatin menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Bekas Ketua Cawangan WARISAN Kampung Berundung, Tuaran, Adneh Setuh pula berkata, beliau bersama 46 lagi ahli cawangan itu keluar parti kerana menyifatkan parti itu gagal membela nasib rakyat selama dua tahun memerintah negeri Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *