Sabah Terima Pelaburan Pembangunan RM7 Bilion Di Meruntum Lok Kawi

Shafie (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Jamalul (dua kiri) dan Jerrand (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 mendapat suntikan pelaburan RM7 bilion daripada anak syarikat hartanah terkemuka antarabangsa Pavillion Real Estate Investment Trust iaitu Tegas Bangsa Sdn. Bhd. (Tegas Bangsa).

Perjanjian pembangunan bersama antara Yayasan Sabah dengan Tegas Bangsa dimeterai hari ini sambil disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Projek tersebut membolehkan Tegas Bangsa membangunkan tanah milik Yayasan Sabah seluas 156.4 hektar di Meruntum, Lok Kawi dengan pembangunan pusat pelancongan, komersial, hotel, perumahan, taman tema dan pelbagai lagi bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 15 tahun.

Mohd. Shafie berkata, projek tersebut dijayakan tepat pada masanya ketika Sabah sedang dalam proses pemulihan terutama dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Ini merupakan satu kawasan pembangunan yang berskala besar di Meruntum, Lok Kawi di mana pembinaan beberapa bangunan bukan hanya hotel resort dan pelbagai dan pembangunan ini akan menelan belanja dalam lingkungan RM7 bilion dalam jangka masa 12-15 tahun dan tanah ini dimiliki Yayasan Sabah seperti yang disebutkan 391 ekar.

“Lokasinya agak strategik dan berhamipran dengan lautan di samping itu beberapa pulau yang ada yang boleh menjadi satu daya penarik kepada bukan hanya pelabur, pembeli hartanah bahkan juga pelancong-pelancong yang berkunjung ke negeri Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas pemeteraian perjanjian itu.

Yayasan Sabah diwakili Pengarahnya, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria manakala Tegas Bangsa diwakili Jerrand Lim Len Jiang ketika memeterai perjanjian tersebut.

Mohd. Shafie berkata, projek pembangunan itu akan meningkatkan permintaan hartanah di Lok Kawi daripada lebih ramai pelabur yang sebelum ini telah menyatakan minat untuk melabur di situ.

“Saya penuh yakin dalam masa terdekat bila keadaan pulih daripada Covid-19 dan ianya merupakan salah satu daripada kawasan akan menjadi tarikan kepada pembeli hartanah dan juga para pelabur yang ada.

“Kerana daripada segi lokasi sebelum Covid-19 pun banyak orang bertanya tentang yang mahu beli hartanah di Sabah tetapi bila berlaku Covid-19 agaknya terbantut dan ini merupakan langkah yang amat kita alu-alukan,” katanya.

Dengan termeterainya perjanjian itu, Tegas Bangsa telah membayar sebanyak RM8.4 juta kepada Yayasan Sabah manakala sebagai pemilik tanah, Yayasan Sabah turut berhak mendapat hasil minimum sebanyak RM840 juta daripada nilai keseluruhan pelaburan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *